Isnin, 20 Disember 2010

COMBI KRT F2 JOHAN KATEGORI POSTER

Inilah poster yang dihasilkan oleh COMBI KRT-F2 yang dinobatkan sebagai JOHAN dalam ketegori POSTER sempena Konvensyen COMBI di Auditorium Hospital Sungai Buloh yang berlansung pada hari Sabtu, 18 Dis 2010.

COMBI Fasa 2, Bandar Utama Batang Kali adalah terdiri dari kesemua AJK KRT-F2 yang diwujudkan bagi membenteras pembiakan nyamuk aedes dan memberi kesedaran dan kefahaman tentang bahayanya penyakit demam DENGGI di kawasan Fasa 2.

Lanjutan dari kemenangan tersebut, COMBI KRT-F2 akan mewakili negeri Selangor dalam konvensyen peringkat Kebangsaan yang akan diadakan tak berapa lama lagi.

Dan jika semuanya berjalan dengan lancar, insyallah, poster ini boleh didapati di setiap pelosok daerah di Selangor!

Lihatlah aksi lakonan Kamarul (salah seorang AJK) mendukung anak lelaki saya, bagaikan lakonan dari aktor profesional! Pergghhhh!

Jumaat, 19 November 2010

Takbir rumah ke rumah di malam raya aidil adha




Cukup meriah!

Itu lah ungkapan yang tepat mengambarkan kemuafakatan antara jiran tetangga di
Fasa 2 ini.

Acara takbir raya yang bermula sebaik sahaja solat Isyak menyaksikan penyertaan yang paling ramai sejak KRT F2 memulakan aktiviti ini tahun lalu.

Jika sebelum ini penyertaan hanya boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan, tapi kali ini telah tercipta sejarah terpaksa dibahagi kepada 3 kumpulan yang setiap satunya dianggotai oleh 20 - 25 orang.

Jumlah anggota kumpulan kecil ini memadai kerana keluasan rumah di F2 ini hanya mampu memanpung seramai itu pada satu satu masa.

Lihatlah foto diatas, yang diemailkan kepada saya oleh saudara Nizam ketika rombongan takbir dirumah beliau... ada yang tak dapat masuk rumah!

Disamping menghantar takbir sambil berkenalan dengan penduduk yang baru pindah, tabung kutipan juga turut disediakan. Hasilnya, jumlah yang dapat dikutip adalah yang tertinggi sejak 2 tahun lepas... Alhamdulillah... bolehlah AJK KRT F2 mengadakan aktiviti lagi dalam masa terdekat... Maklumlah... duit tabung KRT kami pun hujung tahun ni hidup segan mati tak mau.. hehehe..


P/s: gambar penulis ada berbaju merah jambu duduk di bawah tingkap dalam gambar 2..

Khamis, 11 November 2010

Perginya seorang permata


Semalam, 10 Nov 10, seorang permata f2 telah meninggalkan kita buat selama lamanya.

Azhar Harun , AJK KRT F2, dikatakan terkena serangan jantung ketika memandu di salah satu selekoh tajam di empangan air Sungai Tua ke arah Ulu Yam ketika pulang sekitar 3 petang.

Kejadian tersebut tidak disedari oleh jiran jiran F2 walaupun sebilangan besar melalui jalan tersebut.

Ada saksi mengatakan, kereta yang terbabas dipenghadang jalan tidak mengalami kerosakan teruk, ternampak 2 orang yang menaiki lori, memapah keluar mangsa dari kereta.

Semasa hayatnya, beliau seorang yang begitu ceria, menyertai apa sahaja akitiviti yang dijalankan oleh KRT F2.

Tanpa kehadiran beliau sekali pun, namanya sering meniti dari bibir ke bibir tetamu kerana tiada majlis yang meriah tanpa kelibat beliau.

Senda gurauannya sentiasa memikat jiwa, menghidupkan suasana majlis.

Kini, segala gurauannya akan sebati dan akan sentiasa dikenang oleh penduduk KRT F2 khususnya.

Semoga rohnya dicucuri rahmatNya...

AL-FATIHAH........

Sabtu, 6 November 2010

KRT F2 TV- Pertunjukan Bunga Api


Sempena sambutan Majlis Hari Raya Aidil Fitri 2010 KRT F2 baru baru ini, diselitkan pertunjukan bunga api menjadikan sambutan pada kali ini yang terbaik.

Ini diakui sendiri oleh Pengerusi UMNO Cawangan Batang Kali, Saudara Sahreen yang turut hadir meraikan majlis tersebut.

Ahad, 8 Ogos 2010

KRT F2 TV - Gotong Royong Memasak Sempena Majlis Yasin Perdana 2010


Tidak semestinya setiap majlis menggunakan duit tabung KRT.

Kali ini, KRT F2 mengadakan satu majlis bacaan yasin dan tahlil perdana sempena menyambut bulan Ramadhan yang hampir tiba.

Penduduk yang berhajat untuk tahlil keluarga mereka, diminta memberikan sedikit sumbangan kepada KRT F2.

Walaupun tidak dipaksa dan dilakukan secara sukarela bertujuan untuk kos hidangan pada malam tersebut, sebanyak lebih RM800 berjaya dikumpul dari 250 keluarga yang menghuni diKawasan Rukun Tetangga Fasa 2 Bandar Utama Batang Kali ini.

Jiran Wanita membuat keputusan untuk bergotong royong memasak menu nasi tomato ayam masak merah dengan menolak cadangan asal dibuat secara katering.

Rumah Zie, salah seorang AJK Induk KRT F2 menjadi tuan rumah untuk aktiviti kali ini.

Saya yang sepatutnya menolong memasak nasi tomato, terlewat tiba dan pembantu saya pula langsung tak nampak batang hidung.... Ssssoooorrrryyyyy....

Apa apa pun saya berpuas hati dengan hasil tangan mereka, hasil dari kerjasama, berganding bahu, berat sama dipikul, periuk sama dibasuh..

Dengan purata seorang tetamu RM2.65, dan harga ayam semakin hampir Ramadhan semakin naik harganya, mana boleh dapat satu set lengkap nasi tomato beserta buah buahan, air, set hidangan dan pinggan mangkuk kalau dibuat secara katering!





Jumaat, 6 Ogos 2010

KRT F2 TV - Aktiviti Membuat Kain Rentang bersama En. Sabri


Kain rentang atau Banner, sudah menjadi kewajipan setiap kali mengadakan sesuatu majlis.

Banner dibuat bertujuan untuk menyatakan atau memaklumkan kepada orang ramai tentang sesuatu majlis yang bakal atau sedang dijalankan. Lengkap dengan Tajuk sesuatu majlis, tarikh, tempat serta masa.

Zaman semakin berubah, Banner kini dibuat menggunakan cetakan komputer yang boleh diolah sendiri oleh semua orang menggunakan perisian lukisan seperti Illustrator.

Pelbagai corak boleh dibuat bebas, ceria dengan latarbelakang, tonasi warna, pilihan font, grafik, foto yang menguatkan lagi persembahan, susun atur yang dapat menarik perhatian orang ramai.

Kalau 5 tahun yang lepas, jika hendak mencetak, terpaksa ke bandar bandar besar, tapi kini, penduduk pekan kecil seperti Batang Kali pun boleh melakukannya tanpa pergi jauh.

Percetakan digital tumbuh bagai cendawan yang menggugat pertumbuhan syarikat offset tradisi. Hanya menekan satu butang, design yang disimpan dalam pendrive atau cakera padat dalam bentuk software ditransformasikan ke bentuk hard print dalam masa kurang 1 jam.

Akibat revolusi percetakan digital yang semakin berkembang pesat dan pesaingan yang hebat, kini harga untuk mencetak apa apa saja dari sekecil kad jemputan kahwin hinggalah ke Iklan di Billboard, semakin murah dan menarik.

Cepat, mudah dan menarik tentu sahaja menjadi keutamaan untuk membuat banner ke syarikat percetakan digital.

KRT F2 kali ini mengambil keputusan untuk tidak membuat banner digital untuk Majlis Sambutan Israk Mikraj dan Majlis Bacaan Yassin Perdana yang berlansung pada 31 Julai dan 7 Ogos nanti.

Kami ingin mengembalikan semangat gotong royong antara penduduk untuk membuat kedua dua kain rentang secara manual menggunakan kain rentang putih, block huruf, pensil, serta warna dan berus.

Ramai juga rakan rakan yang turun membantu. Beramai ramai mengelilingi kain rentang menulis dan mewarna.

Bila dah ramai, adatlah, tak seronok kalau tak ada senda gurau. Kerja yang remeh pun terasa cepat je selesai bila ada ramai yang datang.

Yang datang lewat akan mengambil tempat rakan yang dah sakit pinggang... akibat terlalu lama membongkok...

Aktiviti yang dijalankan dirumah Pengerusi, memang meriah.

En. Sabri, sendiri pun puas hati dengan hasil kerjasama itu.

Jadi, apa salahnya sesekali kita kembali menggunakan kaedah asal yang pakai ramai tenaga kerja, sekiranya aktiviti tersebut dapat mengeratkan lagi silaturahim antara jiran tetangga.

Tak kiralah jika ada yang mewarna satu dua huruf yang terkeluar dari garisan, tapi hasilnya tetap cantik dan objektif utama telah tercapai...

Tahniah dan terima kasih kepada geng geng yang datang menolong dan tak kurang juga yang meriuhkan suasana...

Lagi Jiran Yang Bersimpati




Sumbangan terus mencurah curah.

Kali ini Zahareff Enterprise, yang diterajui oleh Mohd Azhar bin Mohd Jusan serta Isteri (gambar diatas) turut sama membantu meringankan bebanan mangsa.

Mohd Azhar suami isteri, usahawan syarikat insuran yang berjaya, yang juga warga KRT F2, tidak sekadar mendengar khabar berita jirannya yang menimpa musibah.
Isteri Azhar, segera menghulurkan sumbangan untuk anak anak yang mana ada diantaranya bakal menghadapi UPSR dan Bulan Ramadhan yang bakal disambut beberapa hari lagi.

Kejadian ini secara spontan, dimana penulis, ketika itu berurusan untuk memperbaharui insuran untuk road tax kereta di tempat beliau.

Beliau adalah contoh warga KRT F2 yang amat perihatin dan mengambil berat hal ehwal kebajikan penduduk disini sejak dari dulu lagi.

Semoga rezeki Azhar sekeluarga bertambah, kerana setiap kali kita menderma sebenarnya, kita bukannya semakin berkurangan bahkan ianya bagaikan menanam benih yang akan memberikan kebaikan kembali kepada kita.

Pihak KRT F2 mengucapkan ribuan terima kasih atas derma derma yang telah diberikan. Keperihatinan anda semua amat dihargai.

KRT F2 TV- Bantuan untuk anak Mangsa kebakaran oleh PIBG


Pihak sekolah juga turut membantu keluarga mangsa dengan kutipan derma kilat di sekolah dan buku buku teks turut diganti.

Di pihak PIBG, YDP Sek Keb Bandar Baru Batang Kali, En. Kamara turut sama menyumbangkan sejumlah RM200 dari tabung PIBG.

Terima kasih, En. Kamara yang juga warga KRT F2, yang telah mengambil insiatif berurusan dengan pihak sekolah.


Khamis, 5 Ogos 2010

KRT F2 TV - Sokongan Kewangan dan Moral mencurah


Susulan kepada kejadian pagi tersebut, en. Abdul Wahid bin Basri, Ahli Majlis MDHS (Majlis Daerah Hulu Selangor) telah melawat rumah tersebut pada malam harinya.

Beliau ditemani oleh YDP Sek Keb Bandar Utama, En. Kamara yang juga warga KRT Fasa 2.

Pengerusi KRT Fasa 2, En. Sabri Kasim yang tidak berkesempatan melawat pada siang hari akibat kerja, telah menyampaikan sumbangan dari kutipan derma kilat yang dilakukan pada petangnya.

Kutipan derma tersebut hanyalah dari sebahagian lorong dalam fasa 2, selebihnya akan dikutip keesokkan harinya.

Warkah Doa dan Harapan Kepada Mangsa Kebakaran dari KRT Bukit Depu, Kuala Terengganu

Hj Dol Razlan (berbaju kuning), Pengerusi KRT Bukit Depu, Kuala Terengganu


Cubit peha kiri, peha kanan terasa jua...

Berita musibah yang terjadi pada warga KRT F2 telah mendapat perhatian dan bersimpati atas kejadian yang berlaku dari "abang angkat" iaitu KRT Bukit Depu, Kuala Terengganu.

Berikut, email yang telah dihantar oleh Hj Dol Razlan, Pengerusi KRT Bukit Depu, Kuala Terengganu untuk keluarga kebakaran.

"Salam Takzim kami dari seluruh RT Bukit Depu diatas musibah yang menimpa keluarga mangsa kebakaran ahli jiran RT Batang Kali F 2 pada 4/8.2010.

Kami tumpang terharu dan berdoa samoga Allah menggantikan diatas semua yang hilang dengan berlipat ganda jumlahnya sebagai balasan kesabaran diatas dugaan yng menimpa kepada kluarga mangsa.
Walaupun jarak kita bersempadan tapi kami turut merasa kepedihan yang Tuan alami,lebih lebih lagi berhampiran dengan Ramadhan yang hampir tiba dan waktu pmr yang akan adik kita hadapi.
Tapi percayalah sesungguhnya Allah tidak menduga akan hambaNya dengan sia sia, tentulah ada kelebihan dan kebesaran yang terlindung disebaliknya.
Buat adik yang akan menghadapi upsr , ini adalah pintu kekuatan yang diberi kepad Adik , kerana dengan musibah yang sehebat ini telah Adik harungi dengan kesabaran serta kekuatan moral yang tinggi , telah berjaya Adik lalui..upsr hanyalah pertarungan minda dan kebolihan bukanlah satu kepayahan lagi hendaknya.
Pada kelebihan lain , kami juga kagum dengan Pengerusi Jiran Wanita Puan Zaitun serta warga jiran rt btg kli f 2 kerana dengan keupayaan yang luar dugaan dapat berkongsi tenaga membenteras kemarakan api sebelum bomba sampai.
Senerio sebegini tidak terdapat di rt lain dan ini adalah contoh yang terbaik yang bolih dicontohi olih mana mana rt dalam memuliakan peranan perpaduan dan semangat 1 Malaysia.
Kami rt bukit depu mengucapkan syabas dan turut berbangga dengan mutu moral , persefahaman , kerjasama , setiakawan yang tinggi saperti ia cukup mantap bergabung dalam satu jiwa dalam rt batang kali f 2 .
Memang you all simply elegant !
Salam perpaduan dan salam 1 Malaysia." - Hj Dol Razlan, Pengerusi KRT Bukit Depu, Kuala Terengganu.


No Akaun Mangsa Kebakaran


Malam semalam, kami sekali lagi berkesempatan untuk melawat keadaan mangsa.

Mangsa dan kelima lima anak beliau dilihat berbaring disebahagian kecil lantai yang bersih ditingkat bawah, beralaskan karpet.

Anak sulung mangsa, kelihatan hanya berbaju dalam (singlet) serta seluar sekolah.

"Itu sahaja pakaian yang tinggal, sehelai sepinggang.. tiada lagi baju lain yang selamat.." kata Isteri mangsa merujuk kepada pakaian sekolah yang masih dipakai oleh anaknya yang bakal mengambil UPSR ketika penduduk lain mula untuk melabuhkan badan di tilam empuk di rumah masing masing.

"Esok pun kena pakai baju yang sama".. ujarnya lagi.

Kepada pembaca blog yang bersimpati dan ingin meringgankan beban mangsa kebakaran ini, bolehlah berbuat demikian dengan bank in sumbangan anda terus kepada akaun ASB mangsa seperti dibawah.

Nama : ROSNITA BINTI MOHD RADZI
Akaun : AMANAH SAHAM BUMIPUTRA (ASB)
No. Akaun : 054568789

Semoga dengan sumbangan dan doa tuan/puan, dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung mangsa.

Berita Kepantasan Jiran keluar Sinar Harian!


10 minit pertama kebakaran amat penting bagi orang ramai membantu memadam sebelum marak.

Dalam masa inilah, api masih dapat dilawan dengan usaha dan tenaga orang ramai, ketika api belum betul betul marak.

Jiran, adalah orang yang paling hampir dan paling cepat bertindak mengatasi masalah ini.

Masa masa kritikal itulah, penyatuan penduduk untuk mengumpul tenaga, menyediakan tangga, hos paip getah, serta apa sahaja yang difikirkan perlu untuk memadamkan api.

Tindakan pantas jiran jua lah yang menentukan api tidak dapat merebak keseluruh rumah seterusnya melarat ke rumah rumah jiran yang lain.

Balai Bomba yang paling hampir terletak di Kuala Kubu Bharu, 20 Kilometer dari Bandar Utama Batang Kali.

Kami sedar, dengan jarak yang begitu jauh, akan mengambil masa 15 hingga 20 minit akan sampai.

Jika jiran tetangga hanya sekadar membuat panggilan kecemasan ke Balai Bomba dan menunggu kehadiran jentera Bomba, saya pasti, api semakin marak dan semakin sukar dilawan.

Tahniah kepada seluruh Jiran Tetangga Fasa 2 Batang Kali, dengan tidak mengira warna kulit, bangsa dan agama, bersatu padu mengembleng tenaga membantu kebakaran dan akhirnya dapat menyelamatkan harta benda dari kerosakan yang lebih teruk.

Tahniah sekali lagi!

Berita digital SINAR HARIAN EDISI SELANGOR boleh dilayari dengan pautan ini http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story8030155.asp


Rabu, 4 Ogos 2010

KRT F2 TV - Temuramah Dengan Mangsa, Ketua Jiran Wanita dan YB Kamalanathan



Mangsa, En. Jaafar bin Ahmad, 35, tersentak ketika diberitahu oleh jiran pada jam 8.30 pagi yang rumahnya telah dijilat api.

Punca kebakaran bukannya didapur, tapi dibilik tidur anak sulungnya dibilik ke 3 menghadap ke belakang.

Setelah api dapat dikawal sepenuhnya, kami sekali lagi melawat tempat kejadian diiringi oleh YB Kamalanathan, Ahli Parlimen Hulu Selangor yang genap 100 hari sebagai Yang Berhormat.

Bilik tidur anak mangsa, musnah, segala perkakas seperti almari, rak buku, katil, kipas, meja, meja solek rentung dijilat api.

Paling menyedihkan, apabila melihat segala pakaian sekolah serta buku buku sekolah anak anaknya hangus terbakar.

Mangsa bernasib baik kerana hanya bilik anaknya sahaja yang teruk dan 2 bilik tidur lain hanya mengalami kerosakan kecil kerana kecekapan dan tindak balas yang cepat dari jiran jiran.

YB Kamalanathan berjanji akan membantu membawa kes tersebut ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM). Beliau juga sempat memberi kata kata semangat kepada mangsa dan menghulurkan sedikit sumbangan peribadi.

KRT F2 telah mejalankan derma kilat pada petang tadi bertujuan untuk meringankan sedikit bebanan mangsa kebakaran, menjelang menyambut bulan Ramadhan yang bakal tiba.

Pihak KRT F2 akan terus memantau situasi perkembangan rumah mangsa, dan kami akan menguruskan dokumen dokumen seperti lapuran, gambar gambar serta video yang akan diserahkan kepada pejabat YB Kamal dan YB Isa, Adun Batang Kali, untuk tindakan susulan, secepat mungkin.

Dari masa ke semasa, kami juga memantau keadaan anak beliau yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR tak lama lagi.

Dan pihak KRT F2, akan bergotong royong memulihkan kembali rumah kepada yang asal dengan bantuan seluruh warga KRT F2 dengan bantuan wang ringgit sehinggalah kepada tenaga.

Terima kasih kepada jiran wanita yang diketuai oleh Pn. Zaitun yang telah bergotong royong membersihkan rumah mangsa pada petangnya.

Juga KRT F2, berterima kasih kepada Jabatan Bomba Malaysia, Tenaga Nasional yang akan memulihkan kembali sumber elektrik sehari dua ini, Polis Diraja Malaysia, YB Kamalanathan, YB Isa (ADUN Batang Kali), JKKKP Bandar Utama, Wanita Umno, JKM, Sinar Harian, YDP PIBG Sekolah Kebangsaan Bandar Utama, yang telah sudi datang dan meringankan mangsa.

Kepada sesiapa pembaca blog yang ingin menyumbangkan derma kepada mangsa, Penulis akan mendapatkan no akaun bank mangsa secepat mungkin.

KRT F2 TV - Operasi Padam Api Kebakaran Rumah Jiran


8.20pagi 4 Ogos 2010, penulis dikejutkan dengan jeritan meminta pertolongan kebakaran rumah jiran.

Kebetulan, rumah mangsa cuma dibaris belakang rumah penulis, dan dengan seberapa segera mengumpul orang ramai untuk membantu.

Kepulan asap hitam dapat dilihat dibahagian bilik atas belakang rumah sebelum merebak ke depan.

Beberapa sukarelawan memanjat bumbung untuk memasuki tingkat atas melalui tingkap.

Penulis, dengan bantuan beberapa orang, membuka pintu pagar serta memecah masuk melalui pintu hadapan.

Mangsa, ketika itu tiada dirumah.

Penulis, cuba mendapatkan gambaran kebakaran dengan lebih dekat, memasuki rumah mangsa yang diselubungi dengan asap tebal. Penglihatan kami terhalang dan kami mengalami kesukaran untuk bernafas.

Berbekalkan paip getah yang disambung sambung, ianya berjaya ditarik sehingga ke punca kebakaran di bilik ke3 tingkat atas.

kaca tingkap terpaksa dipecahkan dengan membaling apa saja yang kelihatan supaya asap dapat keluar dari bilik tersebut.

Akhirnya, dengan kecekapan serta tindak balas yang cepat menangani musibah ini, hanya bilik anak mangsa sahaja yang hangus rentung, 2 bilik lagi mengalami kerosakan kecil.

Api dapat dipadamkan dalam masa 15 minit, dan BOMBA telah tiba 5 minit kemudian.

Jika jiran jiran tidak melakukan sesuatu dengan hanya menunggu kehadiran BOMBA , penulis yakin kebakaran akan terus merebak ke rumah rumah yang lain dan kerugian harta benda lebih tinggi.

Keadaan bilik anak mangsa, rentung, dengan katil, almari, meja, kipas serta perkakas didalam bilik tersebut hangus terbakar..

Tidak terkecuali buku buku serta pakaian turut musnah.

Anak beliau ada 5 orang dan dikhabarkan salah seorang akan mengambil UPSR tahun ini.

Mujur, yang paling penting, tiada nyawa yang terkorban.

Bantuan kepada mangsa dilancarkan segera.

Berita lanjut, serta temuramah menyusul kemudian.

Khamis, 29 Julai 2010

KRT F2 TV - Menziarah Anak Ketua Biro Sukan





Pada 19 Julai 2010 yang lepas, seramai 18 orang yang terdiri dari Jiran Wanita, AJK Induk KRT dan jiran tetangga telah menziarah anak ketua biro sukan KRT F2, En. Mohd Fuaad, di rumahnya.

Ziarah ini susulan lawatan yang telah dibuat beberapa hari sebelumnya di Hospital Kuala Lumpur akibat kemalangan motorsikal.

Kecederaan di lutut yang bersangkutan dengan urat yang terputus, mengakibatkan mangsa terlantar di hospital berminggu minggu, 2 hari sebelum dijadualkan menyertai lawatan intregrasi ke Kuala Terengganu, baru baru ini.

Atas keperihatinan sesama jiran, ziarah yang sepatutnya dirahsiakan, kami telah menyusahkan tuan rumah dengan disajikan dengan makanan ringan serta minuman, setelah kehadiran kami telah dihidu lebih awal.

Sedikit sumbangan wang disampaikan oleh Pengerusi KRT Fasa 2, En. Sabri bagi meringankan bebanan keluarga Fuaad kerana berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur setiap hari yang jauhnya 50 km dari Bandar Utama, Batang Kali.

Kami, AJK KRT F2 serta semua jiran tetangga mendoakan semoga anak En. Fuaad cepat sembuh untuk sama sama menyambut Ramadhan serta Syawal yang bakal menjelma.

Sabtu, 24 Julai 2010

KRT F2 TV - Kisah Jamil menceritakan pengalaman menangkap ketam


Jamil, warga KRT F2 yang menyertai rombongan ke Kuala Terengganu, masih teruja dan sentiasa meniti dibibirnya tentang keseronokan menangkap ketam di Pantai Batu Burok tempoh hari.

Lihatlah video dimana Jamil menceritakan pengalamannya mendapat berbelas ekor ketam dan cara yang digunakan.

Bila di luar, suara Jamil lah yang paling meriah! paling banyak cakapnye... tapi....
depan kamera, sepatah ditanya, sepatah dijawab... Poyo tul!...

Kami, jawatan kuasa KRT pun pening kepala sebab desakan untuk menganjurkan lawatan sekali lagi olehnya (dah tentu lokasinya tepi pantai lagi) , dan kami tak terkejut kalau dibawanya sekali beberapa batang buloh dan bekas berisi kepala ayam!

Yang seronoknya, tiada komplen langsung dari peserta yang pergi rombongan, bahkan, setiap kali berjumpa atau terserempak, yang dulunya tak kenal, sekarang, bukan main lagi bertegur sapa!...

Kesimpulannya, perpaduan sebenarnya dapat dipupuk dengan mengadakan lawatan seperti ini... dan semakin ramai jiran mula mengetahui kehebatan peranan yang digerakkan oleh KRT itu sendiri.... untuk kebaikan dan kesejahteraan penduduk setempat!

Khamis, 22 Julai 2010

KRT F2 TV - Gotong Royong Perdana KRT Fasa 2 Bandar Baru Batang Kali


Pada 20 Jun 2010 yang lepas, telah berlangsung program gotong royong perdana yang dijalankan setiap tahun.

Tahun ini, pihak KRT F2 telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Daerah Hulu Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

Bertujuan untuk membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes yang telah mengakibatkan ramai jiran tetangga terkena jangkitan denggi.

Bandar Utama Batang Kali memang telah ditanda kawasan berisiko tinggi jangkitan demam denggi.

Program tersebut berjalan dengan jayanya dengan sambutan dari jiran tetangga amat menggalakkan.

Kumpulan dibahagi kepada dua bahagian dengan setiap pasukan diiringi dengan lori dari Majlis Daerah Hulu Selangor.

Adatlah dalam mana mana program gotong royong.... lebih ramai pengarah dari pekerja... tapi atas sikap tolak ansur, saling tolong menolong, kerja kerja dapat disempurnakan walaupun ada sebilangan yang hanya "lepas batuk di tangga" hahahaha...

Uniknya masyarakat di KRT F2... mana mana yang tak kena pada mata, terus ditegur dengan nada gurauan atau sendaan... pihak yang terkena pula akan cuba berdalih dengan memberi pelbagai alasan... dan bagaikan pesta berbalas pantun menyerikan suasana.

Yang ditegur langsung tak terasa kerana dah sedia maklum sifat rakan rakan yang suka bergurau, dan yang menegur pula akan berhenti bergurau bila dah terlebih...

Dalam video berita itu akan terpampang akibat "terlalu kemas bergaya" semasa program berlangsung, sehingga ada rakan yang meletakkan tanah diatas tapak tangan beliau untuk mengisyaratkan supaya "bersama bersengseng lengan baju" bergelumang dengan kekotoran.

Akhirnya beliau mengalah dan pada mulanya hanya bercekak pinggang sambil jari menunjuk kekanan, ke kiri , keatas dan ke bawah, telah bersama sama mengotorkan baju bagi mencapai objektif program...BARU PADAN MUKA!


Isnin, 12 Julai 2010

KRT f2 TV - Video berbentuk berita pertama

Video Acara Tarik Tali sempena Hari Keluarga pada 27 Jun 2010, dijadikan video pertama berbentuk berita KRT F2 TV.

Pembaca blog sudi sudilah meninggalkan komen samada ok atau apa yang perlu diperbaiki.

Enjoy...

Sabtu, 10 Julai 2010

Hari Keluarga KRT F2 2010


(klik pada slide untuk besarkan gambar)


Berlangsung pada 27 Jun 2010. KRT F2 sekali lagi telah menganjurkan Hari Keluarga kali ke 2.

meliputi semua kategori dari umur 4 sehingga warga emas, lebih 200 penyertaan dari 250 keluarga dari KRT F2 telah berdaftar.


Jumaat, 9 Julai 2010

Selasa, 6 Julai 2010

Lawatan Integrasi KRT F2 ke KRT Bukit Depu Kuala Terengganu 2 - 4 Julai 2010



Bertolak dari Balairaya F2, Bandar Utama, Batang Kali jam 11.30 malam 2 Julai 2010,

rombongan yang disertai oleh seramai 53 peserta dengan menaiki sebuah bas dan 2 biji kereta telah selamat sampai ke Masjid Terapung (Masjid Tengku Tengah Zaharah) kira kira pukul 6.30 pagi keesokannya.

En. Khalid, setiausaha KRT Bukit Depu telah menyediakan homestay untuk rombongan kami seawal jam 4.30 pagi.

Majlis ramah mesra diantara kedua dua KRT berlangsung di Taman Sangsura. Tn Hj. Dol Razlan, Pengerusi KRT Bukit Depu, mengalu alukan kedatangan rombongan sambil memberi serba sedikit penerangan mengenai KRT Bukit Depu danKuala Terengganu .

Penulis, selaku Timb Pengerusi KRT F2 Batang Kali, seterusnya menyatakan antara tujuan lawatan adalah untuk mendapat ilmu kejayaan KRT Bukit Depu.

KRT Bukit Depu adalah diantara 5 KRT terbaik (pengurusan) diperingkat nasional yang diadakan di Melaka, baru baru ini.

Acara pertukaran plak dilakukan disusuli dengan jualan produk hasil keluaran warga KRT Bukit Depu dengan harga kos.

AJK KRT F2 dibawa ke bilik gerakan dan diterangkan kemudahan serta perjalanan mesyuarat yang berlangsung dibilik gerakan yang cukup kemudahan serta mempunyai sistem penfailan yang efesien.

Tn Hj Dol Razlan seterusnya memberikan senaskah lapuran yang tebal ,"rahsia" kejayaan KRT Bukit Depu untuk berkongsi ilmu dengan KRT F2.

Berikutan acara yang terlewat 2 jam dari jadual asal, acara melawat tempat tempat menarik disekitar Kuala Terengganu dijalankan tanpa memasukkan agenda melawat ke Pasar Payang yang terkenal itu. Bagi peserta yang mengikuti rombongan, tidak menjadi masalah kerana program ke tempat tersebut akan dilakukan dihari kedua lawatan, dengan lebih banyak masa diperuntukan.

Setelah berehat seketika, para peserta dibawa ke pantai Batu Burok.

Disana, peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan.
1. Peserta Bolasepak Pantai Jiran Muda campuran
2. Peserta Acara Tangkap Ketam
3. Peserta membina istana pasir kanak kanak

Peserta Bolasepak pantai telah dimenangi oleh pasukan KRT Bukit Depu dengan kemenangan diputuskan dengan sepakan panalti.

Acara Tangkap ketam merupakan acara yang paling meriah dan menyeronokkan.

Rombongan kami yang pada mulanya langsung tidak mengetahui cara tangkapan dilakukan akhirnya telah memenangi acara tersebut dengan mendapat lebih 15 ekor berbalas 6 dipihak KRT Bukit Depu

Setelah berehat sebentar, acara diteruskan di Taman Sangsura sekali lagi.

Ceramah keselamatan penduduk yang disampaikan oleh Timb. OCPD Kuala Terengganu mengisi agenda. Disebabkan pada malam tersebut, Pertemuan diantara Jerman dan Argentina Piala Dunia, penceramah terpaksa memendekkan ceramah beliau bagi laluan para peminat mengikuti perlawanan tersebut diskrin besar yang disediakan.

Hidangan Ayam Kampung gulai kawah memang sungguh enak. Terima kasih kepada Ketua Jiran Wanita, Pn Mariam yang bertungkus lumus menyediakan juadah pada malam tersebut.

Perpisahan dimalam tersebut bukan penamat bagi persahabatan yang baru terjalin.

Memetik kata kata Tn. Hj Dol, kemesraan yang ditunjukkan bagaikan persahabatan diantara KRT F2 dan KRT Bukit Depu telah lama terjalin.

Lembaran baru persahabatan telah dibuka, dengan pertukaran maklumat dan info akan disampaikan melalui email, facebook, telefon, serta lawan web masing masing.

Laman web KRT Bukit Depu boleh dilunsuri melalui pautan yang telah disediakan di bahagian tepi halaman blog ini.

Terima kasih banyak diucapkan kepada "Sifu" Hj Dol serta rakan rakan, yang memberikan layanan 1st Class kepada kami.

Kami menanti kedatangan balas dari rombongan KRT Bukit Depu dengan tangan terbuka.

Kita jumpa lagi.

Isnin, 28 Jun 2010

Hari Keluarga KRT F2 2010 Dapat Liputan





Hari Keluarga & Anugerah Pelajar Cemerlang 2010 KRT F2 Bandar Utama Batang Kali Selangor telah diadakan pada 27 Jun 2010 .

Sambutan hangat diberikan oleh hampir 3/4 keluarga yang begitu seronok memasuki pelbagai acara yang disediakan untuk semua peringkat umur.

Ada acara yang terpaksa dilakukan diperingkat saringan kerana penyertaan terlampau ramai.

Acara yang bermula jam 8.30 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku dan dirasmikan oleh En.Azali, Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Selangor berakhir jam 2.00 petang, lebih awal tanpa berehat makan tengahari kerana khuatir hujan disebelah petang.
Kekhuatiran para AJK terjawab apabila selesai sahaja khemah serta peralatan selesai di simpan, hujan mula turun.

Terimakasih kepada wartawan sisipan Hulu Selangor, SINAR HARIAN yang memberi liputan kepada acara acara kendalian KRT F2.

Ahad, 28 Februari 2010

video sambutan maulidur rasul KRT Fasa 2

video majlis sambutan maulidur rasul peringkat KRT Fasa 2 Batang Kali pada 25 feb 10
ada lagi video yang bakal menyusul...