Kami mencipta perpaduan gaya kami sendiri, sempoi dan tidak formal... tapi matlamat perpaduan menjadi agenda utama
Selasa, 30 Jun 2009
Tujuan Sukaneka KRT F2 Tercapai
Ahad, 28 Jun 2009
Pelan Tindakan RT dikaji Semula: Berita Harian
BUTTERWORTH: Kerajaan sedang mengkaji semula pelan tindakan lima tahun skim Rukun Tetangga (RT) bagi memperkasakan peranannya dalam usaha memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata kajian semula pelan sedia ada bagi tempoh 2006-2010 itu akan menjadi asas kepada pembentukan pelan baru untuk tempoh 2011-2015.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Minggu Perpaduan 2009 peringkat negeri Pulau Pinang di sini, beliau berkata tiga agenda penting akan menjadi tumpuan dalam pelan baru itu iaitu mengukuhkan perpaduan kaum, meningkatkan jaminan keselamatan dan memperbaiki kualiti hidup rakyat.
"Menyedari bahawa peranan RT sebagai pusat kepada segala aktiviti kemasyarakatan, kita berhasrat menjadikan institusi itu sebagai penghubung utama kepada segala bentuk aktiviti yang boleh memupuk perpaduan dan keharmonian kaum," katanya.
Katanya, terdapat 4,227 unit RT di negara ini dan lebih 80 peratus daripadanya bergerak aktif mempromosikan semangat perpaduan, kejiranan dan permuafakatan menerusi aktiviti ekonomi, kemasyarakatan, agama dan sebagainya.
Khamis, 18 Jun 2009
Bila dah gambar masuk suratkhabar....
Tiada apa yang lebih menyeronokkan bila selak suratkhabar terpampang muka kita didada akhbar... bangga beb!
Begitulah halnya bila gambar pemain kejohanan bolatampar KRT F2 yang berlangsung baru baru ini diterbit kan dalam Sinar Harian.
Wajah wajah kecerian para peserta jelas terpancar walaupun tengah panas terik.
Tapi kalau tengok betul betul... ada pemain wanita???? mana datang nih?
Pengerusi, Sabri, terpaksa membawa ke hulu ke hilir sisipan akhbar tersebut akibat ramai penduduk ingin melihat wajah mereka.
"Aku nak besarkan gambar nih kat kedai, kemudian framekan pada pusat KRT kita nanti.." ujar En. Sabri respon dari cadangan dari para penduduk.
Kat mana muka aku? tengok betul betul ... kepala jek yang nampak atas kain banner perkataan "PERLAWANAN" bercermin mata gelap... ceh! kecik tul... ada gak yang nampak topi jek.. lagi haru...
Sessi Dialog KRT F2 dengan Majlis Daerah Hulu Selangor
- Masalah Tiang Gol di Padang Awam Fasa 1 & 2 telah roboh dan membahayakan kanak kanak yang bermain dipadang tersebut.
- Masalah Padang yang tidak rata
- Cadangan untuk tar jalan tanah merah yang bersambung dengan tanah perkuburan , dimana keadaan tanah perkuburan yang berbukit mengalirkan lumpur tanah merah ketika hujan dan banjir lumpur berlaku di Jalan Meranti 3A/18 dan Jalan Meranti 3A/14
- Masalah longkang di belakang rumah Jalan Meranti 3A/15 yang tidak betul, mengakibatkan air banjir sering memasuki rumah (Rumah Setiausaha KRT F2 juga terlibat) setiap kali hujan lebat.
- Cadangan pembinaan bonggol jalan di Jalan Meranti 3A/15 untuk memperlahankan kenderaan demi keselamatan anak anak kecil disepanjang jalan tersebut serta anak anak yang pergi ke Tabika KEMAS yang berhampiran.
- Cadangan kepada pihak Majlis serta Pegawai Daerah untuk memberikan sebidang tanah untuk tujuan pembinaan pusat KRT F2
- Cadangan mengizinkan tapak untuk pembinaan gelanggang futsal untuk kemudahan warga KRT F2 khususnya serta seluruh warga Bandar Utama Batang Kali amnya.
2 Hari kemudian, saya telah menerima surat pengesahan aduan dari MDHS dan surat tindakan aduan pula terhadap aduan bonggol jalan.
Pihak KRT F2 akan menyusul surat persetujuan untuk pembinaan bonggol jalan kepada pihak MDHS dalam masa terdekat.
Keesokkannya, seorang pegawai dari MDHS telah bertemu dengan saya meninjau aduan terhadap sistem aliran longkang di jalan Meranti 3A/15
En Abdul Rahman (gambar) berjanji akan membawa permasalahan ini kepada Jabatan Infra untuk tindakan lanjut.
Kami berterima kasih atas keperihatinan pihak MDHS atas penyelesaian masalah yang telah dikemukaan.
20 Jiran Muda KRT F2 sertai CITRA IKBN SIRI 3
Rabu, 10 Jun 2009
Pertandingan Bola Tampar dapat liputan Akhar Sinar Harian!!
Isnin, 8 Jun 2009
Pertandingan Bola Tampar KRT F2 sempena Hari Keluarga 21 Jun 2009
Satu Pertandingan Bola Tampar anjuran KRT F2 telah diadakan pada 6 Jun 2009 sempena Hari Keluarga dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar KRT F2 yang akan berlangsung pada 21 Jun 2009 kelak.
Sabri bin Kassim, Pengerusi KRT F2 berkata," Alhamdullillah, sambutan diberikan amat menggalakkan, sehingga terpaksa semua pasukan mempunyai ramai pemain simpanan dan sering bertukar pemain untuk memberi peluang mereka beraksi di gelanggang."
"Malah, ramai mengesyorkan agar permainan ini diteruskan setiap minggu. Mungkin mereka amat teruja dengan kemeriahan perlawanan ini." ujarnya lagi.
Yang menarik, pelbagai peringkat umur menyertai pertandingan ini dari 15 sehinggalah 61 tahun.
"Saya tak peduli kalah menang, yang penting dapat memupukkan semangat kejiranan sesama kita dan dalam masa yang sama dapat melakukan aktiviti yang sama antara golongan muda dan berusia seperti saya." kata Nadzri Aziz, 61, peserta paling berumur (gambar)
"Aktiviti sihat ini patut diteruskan, selain boleh merapatkan jurang golongan muda dan tua, kami berjaya mencipta aktiviti alternatif kepada golongan muda yang suka merempit, yang paling penting kami dapat mengenali jiran yang sebelum ini belum dikenali." ujar Nadzri, yang sering bersenam berbasikal sejauh 10km setiap pagi dengan penuh semangat.
Agak mengejutkan pasukan beliau telah berjaya ke peringkat separuh akhir. Sokongan padu dari berpuluh penonton wanita di tepi padang untuk pasukan GOJI yang terdiri dari Pengerusi sendiri, Timb. Pengerusi, Ketua Biro Sukan dan Rekreasi hanya mampu memberi tentangan 5 minit pertama seterusnya dibelasah teruk oleh pasukan lawan.
Secara seloroh, pasukan memberi alasan cepat letih bermain diwaktu matahari panas terik, dan minta disambung pada waktu malam.
Perlawanan berlangsung dari pukul 8 pagi sehingga 7 petang.
Jiran Wanita telah berganding bahu menyediakan makanan mee hoon goreng dan nasi lemak untuk para pemain.
"Lepas main keluar peluh, dapat makan free lagi, tak sempat nak pecah lemak, tambah berlemak badan aku..." seloroh Fuaad Isa, ketua Biro Sukan dan Rekreasi sambil menyuap nasi lemak dengan penuh selera.
Pertandingan bermula dengan nyanyian lagu NegaraKu, bacaan doa serta amanat ringkas dari Pengerusi KRT F2. Majlis tersebut akan dirasmikan oleh YB Mohd Isa, ADUN Batang Kali dan Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Selangor dijangka hadir.
Terdapat 7 Pasukan telah terlibat dalam pertandingan ini mewakili 7 jalan di Kawasan Rukun Tetangga Fasa 2.
Kemeriahan telah bermula dari malam sebelum pertandingan dimana pasukan yang bertanding berkumpul di balairaya Fasa 1& 2 untuk pengundian.
Perlbagai gelaran diberikan untuk setiap pasukan untuk menaikkan semangat para pemain. Antara nama pasukan seperti Semboyan team, Champion Maa.., Kacang je.., Goji, URC 19, Jawa Ranggers. Perlawanan diadakan secara liga.
Pasukan Champion Maa,, menjuarai pertandingan mengalahkan pasukan Jawa Rangers dengan keputusan 21-18, 21-18
End.
Rabu, 3 Jun 2009
Gotong Royong kenduri walimatulurus Abang Din
Isnin, 4 Mei 2009
Rekreasi Memancing di Kelong Lukut, N9
Dalam perjalanan, kami sempat membeli air batu untuk menyegarkan umpan udang yang terlebih dahulu dibeli dan hasil tangkapan kelak.
Kali ini kali tidak membawa peralatan memasak seperti lazimnya, cuma membawa sebiji periuk untuk tanak nasi. Sebagai lauk, kami bekalkan dengan kari ayam, sambal tumis dan sardin dalam tin.
Kami singgah di rumah Pak Lang Asri di Kampung Bukit Pelanduk untuk mempelawa Pak langnya ikut sekali(Kelong tersebut dibawah selian anak Pak Lang Asri dibawah kelolaan Koperasi Bukit Pelandok, kalau tak silap).
Akhirnya kami sampai di jeti tanpa Pak Lang yang enggan menyertai kami. Kami naiki bot yang disediakan lengkap dengan jaket keselamatan.
Jarak perjalanan jeti ke kelong mengambil masa lebih kurang 10 minit dengan ombak yang agak bergelora.
Kami mengalami sedikit kesukaran untuk melangkah ke tangga kelong dari bot yang bergoyang kuat akibat laut yang bergelora.
Kami lihat ada perubahan yang dilakukan keatas kelong tersebut dimana kerja kerja pembaikan dan pembesaran pelantar telah dilakukan dan pengubahsuaian tandas juga harus diberi pujian.
Kelong tersebut dilengkapi dengan bateri yang mampu bertahan selama 12 jam menggantikan generator yang agak bising bila dihidupkan.
Tanpa berlengah, setelah meletakkan beg di bilik yang hanya berlantaikan kayu, kami segera melabuhkan mata pancing...
pada peringkat pertama ini, kami mencuba umpan pumpun yang dibeli di kedai akuarium di Batang Kali dan saya pula mencuba dengan cebisan roti.
Asri pula melabuhkan satu dari tiga "Bento" sejenis bubu menangkap ketam.
Angin malam itu pada awalnya panas serta tidak berangin, bertukar setelah hujan dan ribut petir melanda.
Kami tidak berani menukar umpan ketika hujan turun takut takut disambar petir, maklumlah kami berada di kedudukan paling tinggi di tengah laut!
Cuaca yang tidak menunjukkan tanda reda setelah hampir sejam, kami membuat keputusan untuk tidur dibilik..
Berbekalkan jaket keselamatan yang dibawa, saya jadikan sebagai "baju sejuk" dan sebiji bantal yang disediakan, saya cuba melelapkan mata buat seketika.
Namun kedengaran angin diluar bertiup bertambah kuat menggegarkan dinding, menghentam pintu dengan kuat membuat saya merasa runsing, takut takut bumbung kelong itu terbang ditiup angin ribut.
akhirnya setelah hampir subuh, angin bertambah reda dan hujan telah pun berhenti, saya mengambil keputusan untuk menyambung memancing membiarkan Asri tidur .
Tidak ada seekor ikan pun yang terlekat ketika ribut tadi, hanya umpan yang telah dicuri dari mata kail.
Saya segera menggantikan umpan umpan yang baru termasuk dari joran Asri dan setelah diangkat "bento", saya gembira kerana terdapat seekor ketam didalamnya.
Saya mengambil keputusan untuk mengikat tali untuk dua bento yang lain dan ditempatkan dibarisan yang sama dengan yang berisi ketam tadi.
Sambil leka mengikat tali, saya dapati salah satu pancing yang mana talinya melawan arus... jika semua tali pancing menghala ke daratan mengikut arus, tapi yang satu ini melawan arus..
Rupa rupanya ada ikan yang tersangkut dimata kail dan seekor sembilang laut kecil berjaya dinaikkan.
Setelah sekian lama, saya perhatikan pula bento bento yang diletakkan dengan hirisan ikan sardin yang dibeli di pasar. Bento pertama yang saya ikat berjaya menaikan 2 ekor ketam dan satu lagi seekor.
Wahhh!!! rezeki ketam pulak trip kali ni. Keputusan untuk membawa "bento" sekali adalah disebabkan kami percaya didasar kelong tersebut terdapat banyak ketam ketam yang "mencuri" umpan dari mata kail pemancing. Akibatnya umpan bawa sebanyak mana sekali pun, habis dicuri olehnya tanpa kesan.
Untuk mengelakkan umpan di mata kail dicuri, Kami menggunakan teknik batu ladung dibawah dan mata kail tergantung lebih kurang 3 kaki keatas. Dengan cara ini ketam tidak lagi boleh "mencuri" dan kadar mata kail tersangkut batu karang juga kurang.
Kami percaya terdapat ikan ikan yang besar disitu dengan tanda tanda seperti umpan anak ikan tanpa dikerat kecil dibawa lari ke bawah kelong tanpa disedari hanya tinggal mata kail bila di garau. Ada pula yang hanya tinggal kepala, mata kail disangkut di kepala ikan. Dan pada pagi tersebut kelibat seekor ikan besar (anggaran 2- 3 kilo) melompat dipermukaan menangkap anak anak ikan.
Saya menukar strategi dengan menggunakan mata appollo yang ditinggalkan oleh pemancing sebelum ini dan diletakkan sedikit umpan udang dihujung.
Hasilnya satu satu dari 6 mata yang diturunkan berjaya menaikkan ikan bersaiz kecil (tanpa ketahui jenisnya) dan tanpa berlengah, saya terus menjadikan pula ikan kecil itu sebagai umpan.
Setelah beberapa ketika, saya dapati Asri menggunakan teknik apungan dari botol mineral yang kosong, mendorong saya pula menggunakan teknik yang sama.
Anak ikan hidup itu saya garau kembali dan botol kosong diikatkan berbentuk V untuk menjadikan botol itu terapung dan hanyut dibawa arus.
Dalam masa yang sama, Asri telah tanak nasi dan menyediakan teh susu. Setelah nasi masak, giliran saya pula memanaskan makanan dalam tin yang dibawa...
ketika leka menjaga api di dapur, saya dikejutkan oleh Asri yang memberitahu pancing saya mengena, lantas melompat menyambut dan merentap joran supaya mata kail betul betul menusuk ke mulut mangsa. Sambil menggarau, sempat saya minta Asri menutup api di dapur...
Pehhh!!! ikan ni bukan kira masa makannya.. bila kita perhati hujung jorannya tak nak pulak di makan, bila kita buat kerja lain, masa tuh lee dia nak makan.
Saya tersenyum bila dinaikan seekor ikan tetanda bersaiz kecil dan seekor lagi gerut gerut sebelum kami berehat untuk makan.
Malangnya persediaan kami buat tergesa gesa dan kami terlupa untuk membawa pinggan!
Macam mana nak makan nih? akhirnya saya minta Asri makan nasi atas tudung periuk nasi, dan saya pula mengoyakkan bungkusan kacang yang dibawa sebagai ganti daun pisang.
kami makan dengan berselera dengan badan yang keletihan, tidak cukup tidur, tidak mandi lagi dan terasa sungguh nyaman ditiup udara segar angin lautan yang cukup kuat.
Kami mengambil keputusan untuk pulang pada pukul 1.00 petang, dan saya mengambil peluang semasa menunggu bot tiba untuk mandi (air hujan yang ditakungkan dalam tangki air).
Sempat juga saya menaikkan tiga ekor lagi ikan sebelum bot menghampiri kelong.
Keadaan laut yang bergelora, mengakibatkan pemandu bot menghadapi kesukaran untuk merapati kelong, saya merasa sedikit gusar apabila muncung bot gentian kaca itu pecah dan tertanggal sedikit serpihan sebesar dua keping kertas A4 akibat pergeseran dengan tiang kelong...
tali pengikat bot juga tertanggal hasil dari ombak yang bergelora itu.
Setelah hampir 15 minit, akhirnya tekong bot berjaya juga menambat bot ke tepi kelong dan mengarahkan kami segera menurunkan barang barang kedalam bot. sedikit demi sedikit barang diturunkan sehinggalah coleman yang dibawa dan bateri yang berat.
Kami melangkah sikit demi sedikit anak tangga yang licin untuk menghulur kearah tekong yang berada dalam bot.
Dengan yakin dengan bantuan baju jaket keselamatan yang dipakai, saya memaut ke tiang bot yang bergerak agak ganas dan melompat masuk.
Saya tidak pandai berenang, namun itu bukan alasan untuk ke laut!!
Saya tertidur dalam kereta akibat keletihan, namun sempat menasihatkan Asri berhenti ke tepi kalau terasa terlalu penat.
2 jam perjalanan pulang dari kelong, saya amat sukar untuk membuka mata.
Kami akan kembali lagi ke kelong tersebut walaupun kali ini menghadapi sedikit kesukaran.
Tapi kali ini, saya rancangkan satu kertas kerja bagi pihak KRT F2 membuat akviti ini dengan teratur dan mempelawa seberapa ramai ahli KRT F2 menyertai.
dengan kos kasar RM100 seorang termasuk umpan, duit minyak, tol, bot, kelong , makan dan minum di kelong, satu malam yang penuh aktiviti, saya yakin RM100 tidaklah mahal.
Apa yang penting, para peserta dapat mengeratkan hubungan sesama jiran tanpa mengira apa pun fahaman.
Dalam trip yang dirancang akan datang, dicadangkan naik bas mini yang muat 10 orang supaya dapat berehat secukupnya dan perjalanan yang selesa yang selamat.
Khamis, 30 April 2009
Gotong royong cegah denggi
Kebimbangan tentang penyakit demam denggi yang semakin meningkat terutama di kawasan KRT F2, telah menyatukan seluruh warga dalam kawasan ini berganding bahu bergotong royong membersihkan semak samun, longkang tersumbat, tempat tempat pembiakan nyamuk aedes.
Sambutan Maulidur Rasul
Pada 21 Mac09 yang lepas bertempat di tengah persimpangan jalan Meranti 3A/19, telah diadakan sambutan Majlis Maulidur Rasul peringkat KRT Fasa 2.
Selamat Berpisah Kak Salmah
Pada hari Sabtu, 25 Apr 09 yang lepas, KRT F2 telah kekurangan ahli bila Kak Salmah berpindah ke Ulu Bernam.
Ahad, 11 Januari 2009
Program Cegah Denggi bersama Kementerian Kesihatan
Pada pagi Sabtu,11 jan09 bertempat di padang Fasa 2 Bandar Utama Batang Kali, Selangor berlansung satu sessi taklimat pencegahan wabak Denggi yang disampaikan oleh 3 wakil dari kementerian Kesihatan Kuala Kubu Bharu.
- Cikungunya berjangkit daripada nyamuk yang sebelum itu telah menghisap darah mangsa Cikungunya sebelumnya.
- Dipercayai penyakit tersebut disebarkan oleh penduduk luar dari Malaysia dan disyaki dari Benua Afrika.
- Perbezaan antara Cikungunya dan denggi adalah kesan Cikungunya lebih tertumpu kepada sengal sengal di sendi sendi kecil.
- Telur nyamuk masih boleh bertahan tanpa air selama 3 bulan.
- Ubat Abet tidak mendatangkan kesan kepada badan manusia jika terkena kecuali ada alahan dan tidak digalakkan meminum air dari takungan.
- Ubat Abet bertahan selama 3 bulan
Majlis yang turut dihadiri oleh pemberita SINAR HARIAN, En.Amrullah mewakili berita dari Hulu Selangor.
Setiausaha KRT turut mengambil kesempatan dengan menerangkan produk produk barangan dari KRT Fasa 2 yang akan berada dipasaran berjenama "F2".
Antara Produk produk yang bakal dikeluarkan adalah Sabun, Minyak masak, Ubat Gigi dan beberapa produk lain.
Majlis diakhiri dengan latihan praktikal kepada hadirin yang diketuai oleh pegawai Kementerian Kesihatan di salah sebuah rumah di Jalan 3A/15
RR.