Ahad, 28 Jun 2009

Pelan Tindakan RT dikaji Semula: Berita Harian

28 Jun 2009 Berita Harian Online

BUTTERWORTH: Kerajaan sedang mengkaji semula pelan tindakan lima tahun skim Rukun Tetangga (RT) bagi memperkasakan peranannya dalam usaha memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata kajian semula pelan sedia ada bagi tempoh 2006-2010 itu akan menjadi asas kepada pembentukan pelan baru untuk tempoh 2011-2015.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Minggu Perpaduan 2009 peringkat negeri Pulau Pinang di sini, beliau berkata tiga agenda penting akan menjadi tumpuan dalam pelan baru itu iaitu mengukuhkan perpaduan kaum, meningkatkan jaminan keselamatan dan memperbaiki kualiti hidup rakyat.

"Menyedari bahawa peranan RT sebagai pusat kepada segala aktiviti kemasyarakatan, kita berhasrat menjadikan institusi itu sebagai penghubung utama kepada segala bentuk aktiviti yang boleh memupuk perpaduan dan keharmonian kaum," katanya.

Katanya, terdapat 4,227 unit RT di negara ini dan lebih 80 peratus daripadanya bergerak aktif mempromosikan semangat perpaduan, kejiranan dan permuafakatan menerusi aktiviti ekonomi, kemasyarakatan, agama dan sebagainya.

Tiada ulasan: