Isnin, 20 Disember 2010

COMBI KRT F2 JOHAN KATEGORI POSTER

Inilah poster yang dihasilkan oleh COMBI KRT-F2 yang dinobatkan sebagai JOHAN dalam ketegori POSTER sempena Konvensyen COMBI di Auditorium Hospital Sungai Buloh yang berlansung pada hari Sabtu, 18 Dis 2010.

COMBI Fasa 2, Bandar Utama Batang Kali adalah terdiri dari kesemua AJK KRT-F2 yang diwujudkan bagi membenteras pembiakan nyamuk aedes dan memberi kesedaran dan kefahaman tentang bahayanya penyakit demam DENGGI di kawasan Fasa 2.

Lanjutan dari kemenangan tersebut, COMBI KRT-F2 akan mewakili negeri Selangor dalam konvensyen peringkat Kebangsaan yang akan diadakan tak berapa lama lagi.

Dan jika semuanya berjalan dengan lancar, insyallah, poster ini boleh didapati di setiap pelosok daerah di Selangor!

Lihatlah aksi lakonan Kamarul (salah seorang AJK) mendukung anak lelaki saya, bagaikan lakonan dari aktor profesional! Pergghhhh!

Jumaat, 19 November 2010

Takbir rumah ke rumah di malam raya aidil adha




Cukup meriah!

Itu lah ungkapan yang tepat mengambarkan kemuafakatan antara jiran tetangga di
Fasa 2 ini.

Acara takbir raya yang bermula sebaik sahaja solat Isyak menyaksikan penyertaan yang paling ramai sejak KRT F2 memulakan aktiviti ini tahun lalu.

Jika sebelum ini penyertaan hanya boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan, tapi kali ini telah tercipta sejarah terpaksa dibahagi kepada 3 kumpulan yang setiap satunya dianggotai oleh 20 - 25 orang.

Jumlah anggota kumpulan kecil ini memadai kerana keluasan rumah di F2 ini hanya mampu memanpung seramai itu pada satu satu masa.

Lihatlah foto diatas, yang diemailkan kepada saya oleh saudara Nizam ketika rombongan takbir dirumah beliau... ada yang tak dapat masuk rumah!

Disamping menghantar takbir sambil berkenalan dengan penduduk yang baru pindah, tabung kutipan juga turut disediakan. Hasilnya, jumlah yang dapat dikutip adalah yang tertinggi sejak 2 tahun lepas... Alhamdulillah... bolehlah AJK KRT F2 mengadakan aktiviti lagi dalam masa terdekat... Maklumlah... duit tabung KRT kami pun hujung tahun ni hidup segan mati tak mau.. hehehe..


P/s: gambar penulis ada berbaju merah jambu duduk di bawah tingkap dalam gambar 2..

Khamis, 11 November 2010

Perginya seorang permata


Semalam, 10 Nov 10, seorang permata f2 telah meninggalkan kita buat selama lamanya.

Azhar Harun , AJK KRT F2, dikatakan terkena serangan jantung ketika memandu di salah satu selekoh tajam di empangan air Sungai Tua ke arah Ulu Yam ketika pulang sekitar 3 petang.

Kejadian tersebut tidak disedari oleh jiran jiran F2 walaupun sebilangan besar melalui jalan tersebut.

Ada saksi mengatakan, kereta yang terbabas dipenghadang jalan tidak mengalami kerosakan teruk, ternampak 2 orang yang menaiki lori, memapah keluar mangsa dari kereta.

Semasa hayatnya, beliau seorang yang begitu ceria, menyertai apa sahaja akitiviti yang dijalankan oleh KRT F2.

Tanpa kehadiran beliau sekali pun, namanya sering meniti dari bibir ke bibir tetamu kerana tiada majlis yang meriah tanpa kelibat beliau.

Senda gurauannya sentiasa memikat jiwa, menghidupkan suasana majlis.

Kini, segala gurauannya akan sebati dan akan sentiasa dikenang oleh penduduk KRT F2 khususnya.

Semoga rohnya dicucuri rahmatNya...

AL-FATIHAH........

Sabtu, 6 November 2010

KRT F2 TV- Pertunjukan Bunga Api


Sempena sambutan Majlis Hari Raya Aidil Fitri 2010 KRT F2 baru baru ini, diselitkan pertunjukan bunga api menjadikan sambutan pada kali ini yang terbaik.

Ini diakui sendiri oleh Pengerusi UMNO Cawangan Batang Kali, Saudara Sahreen yang turut hadir meraikan majlis tersebut.

Ahad, 8 Ogos 2010

KRT F2 TV - Gotong Royong Memasak Sempena Majlis Yasin Perdana 2010


Tidak semestinya setiap majlis menggunakan duit tabung KRT.

Kali ini, KRT F2 mengadakan satu majlis bacaan yasin dan tahlil perdana sempena menyambut bulan Ramadhan yang hampir tiba.

Penduduk yang berhajat untuk tahlil keluarga mereka, diminta memberikan sedikit sumbangan kepada KRT F2.

Walaupun tidak dipaksa dan dilakukan secara sukarela bertujuan untuk kos hidangan pada malam tersebut, sebanyak lebih RM800 berjaya dikumpul dari 250 keluarga yang menghuni diKawasan Rukun Tetangga Fasa 2 Bandar Utama Batang Kali ini.

Jiran Wanita membuat keputusan untuk bergotong royong memasak menu nasi tomato ayam masak merah dengan menolak cadangan asal dibuat secara katering.

Rumah Zie, salah seorang AJK Induk KRT F2 menjadi tuan rumah untuk aktiviti kali ini.

Saya yang sepatutnya menolong memasak nasi tomato, terlewat tiba dan pembantu saya pula langsung tak nampak batang hidung.... Ssssoooorrrryyyyy....

Apa apa pun saya berpuas hati dengan hasil tangan mereka, hasil dari kerjasama, berganding bahu, berat sama dipikul, periuk sama dibasuh..

Dengan purata seorang tetamu RM2.65, dan harga ayam semakin hampir Ramadhan semakin naik harganya, mana boleh dapat satu set lengkap nasi tomato beserta buah buahan, air, set hidangan dan pinggan mangkuk kalau dibuat secara katering!





Jumaat, 6 Ogos 2010

KRT F2 TV - Aktiviti Membuat Kain Rentang bersama En. Sabri


Kain rentang atau Banner, sudah menjadi kewajipan setiap kali mengadakan sesuatu majlis.

Banner dibuat bertujuan untuk menyatakan atau memaklumkan kepada orang ramai tentang sesuatu majlis yang bakal atau sedang dijalankan. Lengkap dengan Tajuk sesuatu majlis, tarikh, tempat serta masa.

Zaman semakin berubah, Banner kini dibuat menggunakan cetakan komputer yang boleh diolah sendiri oleh semua orang menggunakan perisian lukisan seperti Illustrator.

Pelbagai corak boleh dibuat bebas, ceria dengan latarbelakang, tonasi warna, pilihan font, grafik, foto yang menguatkan lagi persembahan, susun atur yang dapat menarik perhatian orang ramai.

Kalau 5 tahun yang lepas, jika hendak mencetak, terpaksa ke bandar bandar besar, tapi kini, penduduk pekan kecil seperti Batang Kali pun boleh melakukannya tanpa pergi jauh.

Percetakan digital tumbuh bagai cendawan yang menggugat pertumbuhan syarikat offset tradisi. Hanya menekan satu butang, design yang disimpan dalam pendrive atau cakera padat dalam bentuk software ditransformasikan ke bentuk hard print dalam masa kurang 1 jam.

Akibat revolusi percetakan digital yang semakin berkembang pesat dan pesaingan yang hebat, kini harga untuk mencetak apa apa saja dari sekecil kad jemputan kahwin hinggalah ke Iklan di Billboard, semakin murah dan menarik.

Cepat, mudah dan menarik tentu sahaja menjadi keutamaan untuk membuat banner ke syarikat percetakan digital.

KRT F2 kali ini mengambil keputusan untuk tidak membuat banner digital untuk Majlis Sambutan Israk Mikraj dan Majlis Bacaan Yassin Perdana yang berlansung pada 31 Julai dan 7 Ogos nanti.

Kami ingin mengembalikan semangat gotong royong antara penduduk untuk membuat kedua dua kain rentang secara manual menggunakan kain rentang putih, block huruf, pensil, serta warna dan berus.

Ramai juga rakan rakan yang turun membantu. Beramai ramai mengelilingi kain rentang menulis dan mewarna.

Bila dah ramai, adatlah, tak seronok kalau tak ada senda gurau. Kerja yang remeh pun terasa cepat je selesai bila ada ramai yang datang.

Yang datang lewat akan mengambil tempat rakan yang dah sakit pinggang... akibat terlalu lama membongkok...

Aktiviti yang dijalankan dirumah Pengerusi, memang meriah.

En. Sabri, sendiri pun puas hati dengan hasil kerjasama itu.

Jadi, apa salahnya sesekali kita kembali menggunakan kaedah asal yang pakai ramai tenaga kerja, sekiranya aktiviti tersebut dapat mengeratkan lagi silaturahim antara jiran tetangga.

Tak kiralah jika ada yang mewarna satu dua huruf yang terkeluar dari garisan, tapi hasilnya tetap cantik dan objektif utama telah tercapai...

Tahniah dan terima kasih kepada geng geng yang datang menolong dan tak kurang juga yang meriuhkan suasana...

Lagi Jiran Yang Bersimpati




Sumbangan terus mencurah curah.

Kali ini Zahareff Enterprise, yang diterajui oleh Mohd Azhar bin Mohd Jusan serta Isteri (gambar diatas) turut sama membantu meringankan bebanan mangsa.

Mohd Azhar suami isteri, usahawan syarikat insuran yang berjaya, yang juga warga KRT F2, tidak sekadar mendengar khabar berita jirannya yang menimpa musibah.
Isteri Azhar, segera menghulurkan sumbangan untuk anak anak yang mana ada diantaranya bakal menghadapi UPSR dan Bulan Ramadhan yang bakal disambut beberapa hari lagi.

Kejadian ini secara spontan, dimana penulis, ketika itu berurusan untuk memperbaharui insuran untuk road tax kereta di tempat beliau.

Beliau adalah contoh warga KRT F2 yang amat perihatin dan mengambil berat hal ehwal kebajikan penduduk disini sejak dari dulu lagi.

Semoga rezeki Azhar sekeluarga bertambah, kerana setiap kali kita menderma sebenarnya, kita bukannya semakin berkurangan bahkan ianya bagaikan menanam benih yang akan memberikan kebaikan kembali kepada kita.

Pihak KRT F2 mengucapkan ribuan terima kasih atas derma derma yang telah diberikan. Keperihatinan anda semua amat dihargai.