Isnin, 4 Mei 2009

Rekreasi Memancing di Kelong Lukut, N9

Petang 2Mei 2009, setelah 4 jam lewat dari jadual asal kerana Saudara Asri perlu membereskan kerja kerja beliau di Dewan, Saya dan Asri (Bendahari KRT F2) bertolak tanpa penyertaan 3 lagi rakan (ahli KRT F2) dan seorang peserta luar dari KRT F2.
Dalam perjalanan, kami sempat membeli air batu untuk menyegarkan umpan udang yang terlebih dahulu dibeli dan hasil tangkapan kelak.
Kali ini kali tidak membawa peralatan memasak seperti lazimnya, cuma membawa sebiji periuk untuk tanak nasi. Sebagai lauk, kami bekalkan dengan kari ayam, sambal tumis dan sardin dalam tin.
Kami singgah di rumah Pak Lang Asri di Kampung Bukit Pelanduk untuk mempelawa Pak langnya ikut sekali(Kelong tersebut dibawah selian anak Pak Lang Asri dibawah kelolaan Koperasi Bukit Pelandok, kalau tak silap).
Akhirnya kami sampai di jeti tanpa Pak Lang yang enggan menyertai kami. Kami naiki bot yang disediakan lengkap dengan jaket keselamatan.
Jarak perjalanan jeti ke kelong mengambil masa lebih kurang 10 minit dengan ombak yang agak bergelora.
Kami mengalami sedikit kesukaran untuk melangkah ke tangga kelong dari bot yang bergoyang kuat akibat laut yang bergelora.
Kami lihat ada perubahan yang dilakukan keatas kelong tersebut dimana kerja kerja pembaikan dan pembesaran pelantar telah dilakukan dan pengubahsuaian tandas juga harus diberi pujian.
Kelong tersebut dilengkapi dengan bateri yang mampu bertahan selama 12 jam menggantikan generator yang agak bising bila dihidupkan.
Tanpa berlengah, setelah meletakkan beg di bilik yang hanya berlantaikan kayu, kami segera melabuhkan mata pancing...
pada peringkat pertama ini, kami mencuba umpan pumpun yang dibeli di kedai akuarium di Batang Kali dan saya pula mencuba dengan cebisan roti.
Asri pula melabuhkan satu dari tiga "Bento" sejenis bubu menangkap ketam.
Angin malam itu pada awalnya panas serta tidak berangin, bertukar setelah hujan dan ribut petir melanda.
Kami tidak berani menukar umpan ketika hujan turun takut takut disambar petir, maklumlah kami berada di kedudukan paling tinggi di tengah laut!
Cuaca yang tidak menunjukkan tanda reda setelah hampir sejam, kami membuat keputusan untuk tidur dibilik..
Berbekalkan jaket keselamatan yang dibawa, saya jadikan sebagai "baju sejuk" dan sebiji bantal yang disediakan, saya cuba melelapkan mata buat seketika.
Namun kedengaran angin diluar bertiup bertambah kuat menggegarkan dinding, menghentam pintu dengan kuat membuat saya merasa runsing, takut takut bumbung kelong itu terbang ditiup angin ribut.
akhirnya setelah hampir subuh, angin bertambah reda dan hujan telah pun berhenti, saya mengambil keputusan untuk menyambung memancing membiarkan Asri tidur .
Tidak ada seekor ikan pun yang terlekat ketika ribut tadi, hanya umpan yang telah dicuri dari mata kail.
Saya segera menggantikan umpan umpan yang baru termasuk dari joran Asri dan setelah diangkat "bento", saya gembira kerana terdapat seekor ketam didalamnya.
Saya mengambil keputusan untuk mengikat tali untuk dua bento yang lain dan ditempatkan dibarisan yang sama dengan yang berisi ketam tadi.
Sambil leka mengikat tali, saya dapati salah satu pancing yang mana talinya melawan arus... jika semua tali pancing menghala ke daratan mengikut arus, tapi yang satu ini melawan arus..
Rupa rupanya ada ikan yang tersangkut dimata kail dan seekor sembilang laut kecil berjaya dinaikkan.
Setelah sekian lama, saya perhatikan pula bento bento yang diletakkan dengan hirisan ikan sardin yang dibeli di pasar. Bento pertama yang saya ikat berjaya menaikan 2 ekor ketam dan satu lagi seekor.
Wahhh!!! rezeki ketam pulak trip kali ni. Keputusan untuk membawa "bento" sekali adalah disebabkan kami percaya didasar kelong tersebut terdapat banyak ketam ketam yang "mencuri" umpan dari mata kail pemancing. Akibatnya umpan bawa sebanyak mana sekali pun, habis dicuri olehnya tanpa kesan.
Untuk mengelakkan umpan di mata kail dicuri, Kami menggunakan teknik batu ladung dibawah dan mata kail tergantung lebih kurang 3 kaki keatas. Dengan cara ini ketam tidak lagi boleh "mencuri" dan kadar mata kail tersangkut batu karang juga kurang.
Kami percaya terdapat ikan ikan yang besar disitu dengan tanda tanda seperti umpan anak ikan tanpa dikerat kecil dibawa lari ke bawah kelong tanpa disedari hanya tinggal mata kail bila di garau. Ada pula yang hanya tinggal kepala, mata kail disangkut di kepala ikan. Dan pada pagi tersebut kelibat seekor ikan besar (anggaran 2- 3 kilo) melompat dipermukaan menangkap anak anak ikan.
Saya menukar strategi dengan menggunakan mata appollo yang ditinggalkan oleh pemancing sebelum ini dan diletakkan sedikit umpan udang dihujung.
Hasilnya satu satu dari 6 mata yang diturunkan berjaya menaikkan ikan bersaiz kecil (tanpa ketahui jenisnya) dan tanpa berlengah, saya terus menjadikan pula ikan kecil itu sebagai umpan.
Setelah beberapa ketika, saya dapati Asri menggunakan teknik apungan dari botol mineral yang kosong, mendorong saya pula menggunakan teknik yang sama.
Anak ikan hidup itu saya garau kembali dan botol kosong diikatkan berbentuk V untuk menjadikan botol itu terapung dan hanyut dibawa arus.
Dalam masa yang sama, Asri telah tanak nasi dan menyediakan teh susu. Setelah nasi masak, giliran saya pula memanaskan makanan dalam tin yang dibawa...
ketika leka menjaga api di dapur, saya dikejutkan oleh Asri yang memberitahu pancing saya mengena, lantas melompat menyambut dan merentap joran supaya mata kail betul betul menusuk ke mulut mangsa. Sambil menggarau, sempat saya minta Asri menutup api di dapur...
Pehhh!!! ikan ni bukan kira masa makannya.. bila kita perhati hujung jorannya tak nak pulak di makan, bila kita buat kerja lain, masa tuh lee dia nak makan.
Saya tersenyum bila dinaikan seekor ikan tetanda bersaiz kecil dan seekor lagi gerut gerut sebelum kami berehat untuk makan.
Malangnya persediaan kami buat tergesa gesa dan kami terlupa untuk membawa pinggan!
Macam mana nak makan nih? akhirnya saya minta Asri makan nasi atas tudung periuk nasi, dan saya pula mengoyakkan bungkusan kacang yang dibawa sebagai ganti daun pisang.
kami makan dengan berselera dengan badan yang keletihan, tidak cukup tidur, tidak mandi lagi dan terasa sungguh nyaman ditiup udara segar angin lautan yang cukup kuat.
Kami mengambil keputusan untuk pulang pada pukul 1.00 petang, dan saya mengambil peluang semasa menunggu bot tiba untuk mandi (air hujan yang ditakungkan dalam tangki air).
Sempat juga saya menaikkan tiga ekor lagi ikan sebelum bot menghampiri kelong.
Keadaan laut yang bergelora, mengakibatkan pemandu bot menghadapi kesukaran untuk merapati kelong, saya merasa sedikit gusar apabila muncung bot gentian kaca itu pecah dan tertanggal sedikit serpihan sebesar dua keping kertas A4 akibat pergeseran dengan tiang kelong...
tali pengikat bot juga tertanggal hasil dari ombak yang bergelora itu.
Setelah hampir 15 minit, akhirnya tekong bot berjaya juga menambat bot ke tepi kelong dan mengarahkan kami segera menurunkan barang barang kedalam bot. sedikit demi sedikit barang diturunkan sehinggalah coleman yang dibawa dan bateri yang berat.
Kami melangkah sikit demi sedikit anak tangga yang licin untuk menghulur kearah tekong yang berada dalam bot.
Dengan yakin dengan bantuan baju jaket keselamatan yang dipakai, saya memaut ke tiang bot yang bergerak agak ganas dan melompat masuk.
Saya tidak pandai berenang, namun itu bukan alasan untuk ke laut!!
Saya tertidur dalam kereta akibat keletihan, namun sempat menasihatkan Asri berhenti ke tepi kalau terasa terlalu penat.
2 jam perjalanan pulang dari kelong, saya amat sukar untuk membuka mata.
Kami akan kembali lagi ke kelong tersebut walaupun kali ini menghadapi sedikit kesukaran.
Tapi kali ini, saya rancangkan satu kertas kerja bagi pihak KRT F2 membuat akviti ini dengan teratur dan mempelawa seberapa ramai ahli KRT F2 menyertai.
dengan kos kasar RM100 seorang termasuk umpan, duit minyak, tol, bot, kelong , makan dan minum di kelong, satu malam yang penuh aktiviti, saya yakin RM100 tidaklah mahal.
Apa yang penting, para peserta dapat mengeratkan hubungan sesama jiran tanpa mengira apa pun fahaman.
Dalam trip yang dirancang akan datang, dicadangkan naik bas mini yang muat 10 orang supaya dapat berehat secukupnya dan perjalanan yang selesa yang selamat.